Peranan Pembesar

Posted by Shamsiah dan Siti Nurzahira | 1:28 PM | | 0 comments »

1. Menjaga dan mengekalkan keamanan kawasan pentadbiran
Pada zaman ini, pembesar berempat akan diberi kawasan tadbiran. Pembesar ini bertanggungjawab menjaga kawasan yang diberi oleh sultan dan berusaha mengekalkan keamanan kawasan ini. Beliau juga bertanggungjawab menasihati anak buahnya supaya sentiasa taat setia terhadap sultan.


2. Memastikan jentera pentadbiran negeri dijalankan dengan berkesan
Tugas seseorang pembesar adalah untuk membantu raja dalam pemerintahan dan pentadbiran negeri. Keadaan ini dapat dibuktikan malalui Kelantan di mana Sultan Muhammad I telah melantik 7 orang pembesar untuk membantu baginda dalam pemerintahan dan pentadbiran negeri. Pembesar-pembesar ini akan membentuk satu Jemaah Menteri. Setiap pembesar bertanggungjawab terhadap sesuatu perkara. Secara tidak langsung, jentera pentadbiran negeri akan dapat dijalankan dengan berkesan kerana kerja pemerintahan telah dibahagikan kepada setiap pembesar dan bukan terkumpul dalam tangan seseorang raja atau sultan.


3. Mengerah tenaga tentera
Mengikut sistem serah dan kerah, rakyat jelata bekerja untuk raja atau kerajaan merupakan suatu kewajipan khasnya dalam menjaga keselamatan negeri, memperbaiki istana dan sebagainya tanpa menerima bayaran. Dari sini, pembesar akan menolong sultan untuk mengerah tenaga tentera ketika menghadapi ancaman dari luar atau dalam dan menyerahkannya kepada sultan. Sebahagian daripada tentera itu akan digunakan oleh para pembesar untuk menjaga kawasan pentadbirannya supaya keamanan dapat dikekalkan selalu.


4. Melaksanakan istiadat menjunjung duli
Mengikut Kamus Dewan, menjunjung duli bermaksud memberi khidmat kepada raja. Ini bermaksud, seseorang pembesar haruslah sentiasa bersedia untuk memberikan perkhidmatan kepada raja. Contohnya, semasa sultan hendak berangkat daripada suatu tempat ke tempat lain, Temenggung akan duduk di hadapan gajah dan Laksamana pula akan duduk di belakang gajah. Ini merupakan sebahagian daripada istiadat menjunjung duli yang harus dilakukan oleh seseorang pembesar.


5. Menasihati sultan dalam segala hal
Para pembesar telah membentuk Majlis Penasihat Sultan bagi membantu sultan dalam pentadbiran dan pemerintahan. Sebelum sesuatu keputusan dibuat, sultan akan mengemukakan pendapat baginda dan pembesar akan menasihati baginda sekiranya pendapat sultan mempunyai kelemahan. Cadangan juga akan dikemukakan oleh para pembesar terhadap sultan supaya suatu keputusan yang sempurna dapat dicapai dan diperolehi.


6. Menyelaraskan semua istiadat dalam istana
Dalam istana, setiap pembesar mempunyai tugasan tertentu dalam menyelaraskan istiadat dalam istana. Contohnya, semasa Kerajaan Melayu Melaka, Bendahara akan menjadi ketua adat-istiadat serta penjaga alat kebesaran raja. Penghulu Bendahari pula bertanggungjawab menyediakan balai rong seri serta hidangan makanan dan memastikan segala upacara rasmi berjalan lancar. Selain itu, Temenggung akan bertugas dalam urusan jamuan di raja termasuk mengatur dan menentukan orang yang bertugas ketika upacara rasmi.


7. Memungut cukai
Setiap orang pembesar akan diberikan kawasan tertentu yang menjadi kawasan pentadbiran, misalnya di Kerajaan Pahang, Orang Kaya Maharaja Indera Perba bertanggungjawab mentadbir kawasan Tanjung Lindung. Pembesar ini akan memungut cukai daripada anak buahnya selain daripada menjaga keamanan kawasan tersebut. Pembesar ini akan melantik penghulu atau penggawa di setiap kampung. Penghulu inilah yang bertanggungjawab mengutip cukai dari kalangan anak buahnya. Penghulu ini tidak diberi gaji tetapi sebahagian daripada hasil cukai akan diberi kepadanya.


8. Serah ufti/cukai
Sudah diketahui bahawa pembesar utama akan diberi kawasan pentadbiran dan pembesar berhak memungut cukai daripada anak buahnya. Ini tidak bermaksud semua cukai yang dikutip merupakan kepunyaannya, tetapi disebaliknya, sebahagian daripada cukai yang dikutip ini akan diserah kepada sultan bagi menunjukkan kesetiaannya terhadap sultan yang memerintah.


9. Menyediakan tenaga buruh
Bagi masyarakat Melayu lama, adalah menjadi tanggungjawab bagi setiap rakyat untuk bekerja bagi pihak sultan untuk membina istana atau bangunan lain tanpa menerima apa-apa ganjaran. Di sini, pembesar akan mengerah tenaga buruh daripada kawasan pentadbirannya dan diserahkan kepada sultan. Sistem ini juga dipanggil sistem kerah dan serah. Tanpa pembesar, sultan tidak akan dapat memperolehi tenaga buruh untuk bekerja bagi pihaknya.


10. Menjaga keadilan
Pembesar bertanggungjawab menjatuhkan hukuman terhadap orang yang melakukan kesalahan. Hukuman yang boleh diambil oleh beliau tidak termasuk hukuman mati. Hukuman mati hanya boleh dilaksanakan selepas mendapat keizinan daripada sultan. Dari sini, jelaslah kita lihat pembesar ini bertangguyngjawab menjaga keadilan sosial melalui undang-undang bertulis, undang-undang tidak bertulis, contohnya hokum syarak.


11. Menjadi perantaraan antara raja dengan rakyat
Pembesar mempunyai pengaruh yang kuat di kalangan rakyat jelata khasnya di kawasan pentadbirannya. Beliaulah yang menjadi perantaraan di antara raja dan rakyat dimana semua titah perintah sultan akan disampaikan oleh pembesar kepada rakyat jelata. Di sebaliknya, pembesar akan menyampaikan ketidakpuasan rakyat jelata terhadap sesuatu kepada sultan supaya langkah yang berkaitan dapat diambil.

0 comments